Site Loader
Kota Kinabalu, Sabah
penama caruman kwsp
penama caruman kwsp

Artikel ini tidak akan membincangkan tentang kepentingan mencarum ke dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP). Perkara ini banyak dibincangkan di luar sana. Walaupun begitu, kepentingan membuat penamaan dan perkara-perkara yang berkaitan terlalu jarang dibincangkan. Dalam artikel ini kita akan menjelaskan secara ringkas tentang penama dan hak penama untuk caruman KWSP.

Sekiranya Pencarum Meninggal Dunia

Pencarum disarankan untuk membuat penamaan, dengan memilih individu atau institusi untuk menerima dan mentadbir simpanan KWSP pencarum sekiranya pencarum meninggal dunia. Pencarum boleh membuat perancangan awal dengan membuat penamaan bagi mengurangkan kesulitan dan juga untuk memastikan pencarum mendapat jaminan kewangan selepas meninggal dunia. Terdapat dua keadaan penama membuat permohonan wang caruman apabila pencarum meninggal dunia.

Penamaan Yang Dibuat Sebelum 1 Januari 2017

Penama Berumur 18 Tahun Ke AtasPenama Berumur Di Bawah 18 Tahun
Penama layak untuk memohon wang caruman si mati. Bayaran akan di buat kepada Penama/Pentadbir (wasi).Penama layak memohon wang carumah si mati apabila mencapai umur 18 tahun. Bayaran akan di buat kepada Penama/Pentadbir (wasi).

Penamaan Yang Dibuat Selepas Januari 2017

Penama Berumur 18 Tahun Ke AtasPenama Berumur Di Bawah 18 Tahun
Penama perlu mengemukakan Pemohonan Pengeluaran Kematian dalam tempoh setahun dari tarikh kematian pencarum. Wang caruman si mati akan dibayar kepada Penama/Pentadbir (wasi).Penamaan akan terbatal kecuali penama mencapai umur 18 tahun dalam tempoh setahun selepas kematian pencarum.

Sekiranya  tiada permohonan dibuat dalam tempoh setahun dari kematian pencarum, penamaan adalah terbatal dengan sendirinya. Waris pencarum boleh mengemukakan permohonan mengikut prosedur Pengeluaran Kematian secara tanpa penamaan.

Sekiranya Penamaan Tidak Dibuat

Seksyen 25 Akta KWSP 1991 menyatakan, wang simpanan pencarum yang telah meninggal dunia tanpa membuat penamaan hanya boleh dikeluarkan dengan adanya Surat Kuasa Mentadbir, Surat Probet, Surat Perintah Pembahagian atau Sijil Faraid kepada KWSP. Dalam konteks Sabah, waris simati yang beragama Islam lazimnya diminta mendapatkan perintah pembahagian harta pusaka dari Mahkamah Syariah Sabah.

Oleh itu, sekiranya pencarum tidak membuat penamaan sebelum kematian, waris ahli yang layak boleh menghantar permohonan Pengeluaran Kematian ke pejabat KWSP.

Adakah Penama Caruman KWSP Pemilik Harta

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 20 September 1973 di mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-93 telah menyatakan bahawa orang Islam yang dinamakan sebagai penama oleh si mati dalam apa-apa skim simpanan wang dalam mana-mana Kumpulan Wang Simpanan, insurans, tabung, lembaga, syarikat kerjasama, koperasi atau institusi kewangan ialah wasi kepada si mati dan hendaklah pembahagian harta peninggalan si mati kepada waris berhak mengikut pembahagian faraid.

fatwa penama KWSP orang Islam

Ini secara jelas menyatakan bahawa penama (wasi) bagi harta orang Islam hanyalah sebagai pentadbir bagi harta simati sahaja dan ia perlu diagihkan secara faraid atau muafakat.

Kesimpulan

Ramai pencarum dan waris diluar sana masih kurang jelas tentang fungsi penama disebabkan terlalu biasa dengan kaedah konvensional. Perkara ini nyata sekali menyalahi hukum syarak. Oleh itu adalah penting untuk kita melengkapkan diri kita berkenaan ilmu pewarisan harta untuk mengurangkan komplikasi di kemudian hari. Ini seterusya akan dapat mengelakkan pertelingkahan dan berlakunya harta beku yang saban semakin meningkat.

Penafian
Laman web ini dihasilkan oleh Sabah Wealth Advisor mengandungi pandangan dan pendapat peribadi dan tidak mewakili komunikasi rasmi daripada mana-mana syarikat.

Post Author: Editorial Team

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *