

Dalam Islam, hibah harta adalah satu amalan yang diiktiraf dan dibenarkan oleh hukum Syarak. Hibah merupakan satu bentuk pemberian harta yang dilakukan semasa hayat pemberi hibah kepada penerima hibah. Walau bagaimanapun, terdapat prinsip-prinsip dan syarat-syarat yang perlu diikuti untuk memastikan pelaksanaan hibah mematuhi ajaran Islam.
Rukun Hibah
Pelaksanan hibah perlu memenuhi empat rukun seperti berikut:
- Pemberi hibah;
- Penerima hibah;
- Harta yang dihibah; dan
- Sighah (lafaz akad hibah)
1. Syarat Pemberi Hibah
Pemberi hibah haruslah pemilik kepada harta tersebut, mempunyai hak untuk memberi hibah dan menggunakan hartanya. Pemberi hibah juga perlu memiliki niat yang ikhlas dan suci untuk memberikan harta kepada penerima hibah, tanpa meminta ganjaran atau faedah tertentu sebagai ganti.
2. Syarat Penerima Hibah
Perlu ada penerima hibah ketika hibah dibuat. Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja, termasuk ahli keluarga, rakan atau pihak lain. Ini termasuklah dari golongan yang bukan mukallaf seperti kanak-kanak dan orang tak sempurna akal atau OKU. Namun, penjaga atau pemegang amanah boleh dilantik bagi pihak mereka.
3. Syarat Harta Yang Dihibah
Harta yang akan dihibah mestilah milik si pemberi hibah dan yang mempunyai nilai. Ia juga perlu wujud semasa akad hibah dilaksanakan.
4. Syarat Sighah (Lafaz Akad Hibah)
Pemberi dan penerima hibah perlu melafazkan ijab dan qabul. Lafaz ijab adalah lafaz yang diungkapkan oleh pemberi hibah kepada si penerima. Lafaz qabul pula adalah lafaz yang diungkapkan oleh penerima sebagai tanda menerima harta tersebut. Akad yang dilaksanak juga tidak mempunyai tempoh.
Kesimpulan
Hibah harta adalah satu bentuk pemberian yang dibenarkan, tetapi pelaksanaannya harus berlandaskan hukum syarak dalam Islam. Penerima hibah perlu memahami hak dan tanggungjawab yang dipikul, sementara pemberi hibah perlu memastikan bahawa prosesnya mengikut prinsip-prinsip ajaran Islam. Melalui pelaksanaan yang telus, hibah harta dapat menjadi satu amalan yang membawa manfaat dan keberkatan dalam konteks pengurusan harta sesuai dengan ajaran agama Islam.
Penafian Laman web ini dihasilkan oleh Sabah Wealth Advisor mengandungi pandangan dan pendapat peribadi dan tidak mewakili komunikasi rasmi daripada mana-mana syarikat.