Ramai dikalangan kita hanya sibuk mencari harta semasa hidup dan berpendapat harta pusaka adalah terhad untuk waris-waris sahaja, dan pembahagian dibuat melalui kaedah faraid sahaja. Bagi mereka yang sudah mula merancang pula, telah menyediakan wasiat, walau bagaimanapun, tidak faham akan apa itu wasiat, mengikut hukum syarak.
Apa itu wasiat?
Secara ringkasnya, wasiat adalah dokumen yang mengandungi niat pewasiat mengenai pembahagian kepada pihak yang lain sama ada benda, hutang atau manfaat untuk dimiliki oleh penerima wasiat selepas kematian pewasiat.
Wasiat dari segi Islam pula, seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 2 Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 sebagai ikrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati.
Wasiat hanya berkuat kuasa selepas kematian. Oleh itu, wasiat boleh dipinda seberapa kali oleh pewasiat semasa hayatnya.
Wasiat Harta Pusaka (Wasiat 1/3)
Pemberian wasiat adalah bertujuan untuk membahagikan harta kepada bukan waris dengan maksimum 1/3 daripada nilai keseluruhan harta pusaka. Wasiat 1/3 akan ditolak dahulu sebelum pembahagian faraid kerana wasiat ini adalah bertujuan untuk amal jariah si mati.
Perkara ini berlandaskan hadis Rasulullah S.A.W. yang mana sahabat Baginda S.A.W. iaitu Saad bin Waqash ingin bersedekah sebanyak dua pertiga ataupun setengah daripada hartanya. Baginda Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Jangan, sepertiga sahaja. Sepertiga itu banyak. Sesungguhnya engkau tinggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan miskin dan meminta-minta kepada orang lain.”
Riwayat Muslim
Berdasarkan hadis di atas, Wasiat 1/3 adalah had untuk pemberian kepada bukan waris. Sekiranya melebihi 1/3, persetujuan waris-waris faraid diperlukan untuk melaksanakan bahagian yang melebihi 1/3 tersebut.
Contoh wasiat kepada bukan waris adalah
- Rumah anak yatim
- Masjid
- Maahad tahfiz
- Anak angkat
Waris akan mendapat bahagian mereka dari baki 2/3 daripada nilai keseluruhan harta pusaka, menggunakan pembahagian faraid
Kesimpulan
Islam menggalakkan umatnya untuk menulis wasiat. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:
“Tidak seharusnya bagi seseorang yang mempunyai harta untuk di Wasiatkan tidur lebih dari dua malam melainkan Wasiatnya sudah tertulis di sisinya.
Hadis Riwayat Bukhari
Uruslah harta anda semasa anda masih sihat. Jangan bebankan keluarkan anda di kemudian hari.
Penafian Laman web ini dihasilkan oleh Sabah Wealth Advisor mengandungi pandangan dan pendapat peribadi dan tidak mewakili komunikasi rasmi daripada mana-mana syarikat.